HUKUM
Hukum Membawa HandPhone Yang Mengandungi Software Al Quran Ke Tandas
HUKUM MEMBAWA ALAT-ALAT YANG
MENGANDUNGI PERISIAN AL-QUR’AN KE TANDAS
(BILANGAN 245)
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia melalui
keajaiban akal dan ilham yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu
wa Ta‘ala telah berjaya mencipta alat-alat yang serba canggih. Al-
Qur’an yang dahulunya hanya dapat dibaca melalui kertas ataupun
mushaf kini sudah dapat dimuat turun ke dalam alat-alat seperti
telefon bimbit ataupun PDA (Personal Digital Assistant).
Oleh kerana alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA
(Personal Digital Assistant) ini sangat penting penggunaannya
dalam kehidupan masa kini, maka sudah semacam kemestian ianya
sentiasa dibawa bersama ke mana-mana sahaja termasuklah ke
tandas.
Sebagaimana yang dimaklumi, ayat-ayat al-Qur’an adalah
kalamullah yang wajib dihormati, dimuliakan dan dijaga sedaya
upaya atau sebaik-baiknya agar ianya tidak terdedah kepada
sebarang pencemaran atau penghinaan yang boleh menjejaskan
kesuciannya. (Fatwa 22/2006).
Jadi di sini, timbullah persoalan mengenai kehormatan perisian al-
Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut. Adakah membawanya
bersama masuk ke tandas, ataupun membawanya dalam keadaan
berhadas akan mencemarkan kesucian al-Qur’an?
Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Qur’an ke Tandas
Membawa apa sahaja benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-
Qur’an mahupun zikrullah ke tandas hukumnya adalah makruh.
Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang dimuliakan seperti
nama-nama Allah, para nabi dan malaikat-malaikatNya
sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.
Imam asy-Syirazi Rahimahullah berkata dalam kitabnya al-
Muhadzdzab : “Jika ada seseorang ingin memasuki tandas dan
bersama-samanya ada sesuatu yang terdapat padanya zikir-zikir
Allah, maka baginya menjauhkan benda tersebut daripada dirinya
(tidak membawanya masuk ke tandas), kerana telah diriwayatkan
oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak memasuki tandas,
Baginda meletakkan cincin Baginda itu di luar, ini kerana di atas
cincin Baginda itu ada tertulis perkataan محمد رسول الله yang Baginda
jadikan sebagai mohor atau cap Baginda dalam urusan surat
menyurat.”
Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika mengulas kata-kata
pengarang kitab al-Muhadzzab ini telah berkata : “Para ulama asy-
Syafi‘eyyah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat
dijauhkan sesuatu yang ada padanya zikir-zikir Allah ketika
seseorang itu hendak masuk tandas dan tidaklah wajib ianya
dijauhkan daripada dirinya (membukanya).”
Imam an-Nawawi Rahimahullah seterusnya menambah: “Sama
ada benda yang tertulis padanya zikir-zikir Allah itu duit perak
(dirham) atau emas (dinar) atau cincin atau lainnya, begitu juga
jika ada bersama-samanya tangkal ataupun azimat, sunat dijauhkan
benda-benda itu daripada dirinya ketika hendak memasuki tandas.”
Ini bertujuan bagi memuliakan ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat
pada alat-alat tersebut dan sebagai mencontohi perbuatan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang meletakkan cincin
Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapat
padanya ukiran perkataan محمد رسول الله . (Fatwa 22/2006).
Adakah Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Qur’an Itu
Dihukumkan Sebagai Al-Qur’an?
Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu
dengan tujuan untuk mengaji atau mempelajari ayat al-Qur’an
adalah haram untuk disentuh atau ditanggung oleh orang yang
berhadas. Sementara ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan
mengaji atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-
Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka harus ia
disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. (Fatwa
31/1972).
Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital
Assistant) yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklah
dihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ianya diniatkan untuk
mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Ini kerana
pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk
elektronik dan tidak kekal. Begitu juga bacaan al-Qur’an yang
berbunyi dari alat tersebut adalah berbentuk rakaman. Ia akan
terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan ke
program yang lain. (Fatwa 22/2006).
Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menanggung atau
menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang
telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan
sebagai al-Qur’an.
Hukum Membawa Masuk Alat Perisian Al-Qur’an Ke Tandas
Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj karangan Imam ar-Ramli
Rahimahullah, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak
dihukumkan sebagai al-Qur’an atau nama-nama yang tidak
dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas. Begitu
juga jumhur ulama tidak menegah untuk membawa benda-benda
selain zikir Allah ke tandas.
Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah harus
hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau
PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-
Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan
bacaan ayat al-Qur’an itu tidak muncul daripada alat-alat tersebut
ketika berada di tandas.
Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA
(Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an
atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program
al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempattempat
kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat
al-Qur’an tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada
dalam tandas.
Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami
Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj, beliau berkata:
“Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya
(cincin yang tertulis padanya al-Qur’an); walaupun dengan
senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti
menggenggamnya dalam tapak tangan.”
Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA
(Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an
atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain
sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-
Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana
ianya tidak akan muncul ketika berada dalam tandas.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menjelaskan
bahawa selain tandas, semua tempat-tempat kotor atau tempattempat
maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang
menjijikkan.
Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari
menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan
riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini
tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya
sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.
Kesimpulan
Tidak kira di mana pun ayat-ayat al-Qur’an tersebut, sama ada
pada kertas, tangkal, dinding dan sebagainya ianya masih lagi
dinamakan ayat-ayat al-Qur’an. (Fatwa 31/1972).
Maka dalam
permasalahan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal
Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an ini, adalah
sangat mustahak pemiliknya bersikap lebih berhati-hati dalam
menjaga kesucian ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat
tersebut dengan memastikannya ditutup ataupun dialihkan kepada
program yang lain sebelum memasuki tempat-tempat yang tidak
wajar seperti tandas ataupun mana-mana tempat yang dihukumkan
sebagai tempat-tempat yang menjijikkan sepertimana yang telah
dijelaskan tadi.
http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2007/bil245.pdf

